Saturday, 10 December 2016

NAFAS ANAK AYAH

Hai semua, ini merupakan cerpen saya yang mendapat naib johan dalam pertandingan cerpen di kolej sains kesihatan bersekutu kota kinabalu... hehe.. selamat membaca...


            “Jangan katakan seorang, malah hampir semua anak aku berkerjaya!!” kata-kata itu masih terngiang-ngiang di benak fikiran Pak Hamdan yang bangga dengan anak-anaknya yang berkerjaya. Hampir seluruh penduduk kampung di kampungnya mengenali Pak Hamdan yang diberi rezeki besar di mana hampir kesemua anak-anaknya mendapat pekerjaan yang menjamin masa hadapan.
            Pak Hamdan, 63 tahun, yang dahulunya seorang petani biasa, kini mampu membeli sebidang tanah di Kundasang untuk di usahakan. Kalau dahulu, dialah yang berhempas pulas mengerjakan tanaman sayur-sayurannya, dialah yang mengesat peluh tidak mengenal erti penat dan lelah, dialah yang selalu risau siang dan malam tentang kehidupannya yang tidak menentu. Kini, kehidupannya berubah setelah anak-anaknya berjaya dalam pendidikan dan mendapatkan pekerjaan yang yang telah mengubah nasib sekeluarganya.
            Masih ingat lagi Pak Hamdan senyumannya terukir begitu mekar sekali di bibirnya semasa anaknya mendapat segulung ijazah dalam bidang perguruan yang kini bekerja sebagai guru Matematik di sebuah sekolah menengah jauh dari tempat tinggalnya. Anaknya yang kedua pula mendapat tawaran bekerja sebagai seorang jurutera seni bina yang kini dihantar jauh dari seberang iaitu di Melaka. Anaknya yang ketiga pula, baru-baru ini mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah hospital besar di Selayang yang terletak di Selangor sebagai seorang Pegawai Perubatan. Masih segar lagi dalam ingatan Pak Hamdan akan isterinya yang pada ketika itu tidak jemu-jemu bercerita tentang anak-anaknya kepada sesiapa sahaja yang datang melawat ke rumah Pak Hamdan.
            “Alhamdulillah, anak saya tiga orang semua sudah capai impian masing-masing. Sekarang ni, tidak perlulah saya bersusah payah bekerja keras lagi.” Ujar Puan Leha, isteri kepada Pak Hamdan terhadap rakan-rakannya yang datang menjenguk untuk melawat Puan Leha.
            “Untunglah Leha, tidak sia-sia awak membesarkan anak awak.” jawab Puan Aminah yang merupakan rakan karib Puan Leha di Kampung itu.
            Begitu lah Puan Leha meluahkan rasa bangganya kepada rakan-rakannya terhadap pencapaian anak-anaknya. Pak Hamdan dan Puan Leha yang dahulunya hidup susah kini sudah semakin senang disebabkan anak-anaknya yang telah bekerjaya. Setiap bulan, anak-anaknya akan mengirimkan wang kepada kedua-dua orang tuanya. Pak Hamdan dan Puan Leha tidak pernah merasa susah tentang wang ataupun hal-hal yang berkaitan dengan keperluan mereka.
            Sungguhpun begitu, anak keempat Pak Hamdan, Raziman, yang kini sudah berusia 29 tahun, sangat mengecewakan Pak Hamdan dan Puan Leha. Raziman seorang yang malas belajar dan lebih gemar bekerja kampung. Kalau waktu dahulu abang dan kakaknya ke sekolah, dia selalu akan ponteng dan mengikut rakan-rakannya untuk melepak ke “cyber” ataupun tempat yang jauh dari sekolah. Pernah juga dia terlibat dalam kes masalah disiplin di sekolah dan sudah beberapa kali digantung sekolah. Raziman tidak menghabiskan pengajiannya. Dia berhenti sekolah sewaktu tingkatan dua. Pernah juga ibunya merayu-rayu menangis di depan guru disiplin supaya anaknya Raziman, diterima masuk ke sekolah. Sekali dua, rayuan Puan Leha masih diterima oleh guru disiplin tersebut. Tetapi kes masalah disiplin Raziman sudah melebihi dari lima kali. Sehinggakan Raziman sendiri sudah malu untuk bersekolah di sekolah itu lagi. Namun Puan Leha tidak pernah malu untuk berjumpa dengan guru disiplin itu lagi sehingakan guru disiplin tersebut juga terlepas kata memaki hamun Raziman di depan ibunya sendiri. Guru disiplin itu pun sudah jemu terhadap masalah disiplin yang ditimbulkan oleh Raziman lalu menyerahkan kes tersebut kepada Pejabat Pendidikan Daerah. Kes yang selalu ditimbulkan oleh Raziman ialah kes gaduh yang menyebabkan Raziman ke pejabat polis kerana mencederakan seorang pelajar.
            Kini, Raziman berasa sungguh menyesal akibat salah langkahnya. Kes yang terberat yang Raziman telah lakukan dan merupakan kesalahan yang tidak boleh dilupakan oleh Raziman sendiri, di mana Raziman menghulurkan tangan membantu rakannya yang bergaduh dengan pelajar lain hanya disebabkan oleh teman wanita yang langsung mengakibatkan musuh rakannya cedera bahagian kepala akibat dipukul berkali-kali sehingga pengsan. Kes ini bukan sahaja di bawa ke mahkamah, malah Raziman dipenjarakan satu minggu tiga hari sehingga mendapat belas kasihan daripada ibu bapa mangsa untuk melepaskan Raziman. Dari hari itu, Raziman telah dibuang ke sekolah dan ditempatkan di sekolah pemulihan. Namun Raziman sudah tidak mahu bersekolah lagi dengan alasan tidak lagi mahu menyusahkan kedua-dua orang tuanya.
            Pak Hamdan dan Puan Leha sendiri sudah putus asa dengan sikap Raziman yang sedemikian. Sudah tidak berkesan lagi kata-kata nasihat dari Puan Leha, sudah tidak berkesan lagi suara tengkingan Pak Hamdan dan sebatan yang diberi kepada Raziman, namun inilah pengakhiran Raziman yang akhirnya menjadi buah mulut orang ramai yang mengenali keluarga Pak Hamdan.
            Raziman kini menggantikan ayahnya bekerja sebagai penjual sayur di Kundasang. Walaupun adik beradiknya yang lain tidak lupa mengirimkan wang setiap bulan melalui buku akaun Pak Hamdan, namun Raziman malu untuk berharap kepada adik beradiknya yang sudah bekerjaya. Pak Hamdan sudah berkali-kali menghulurkan wang kepada Raziman namun Raziman enggan menerimanya. Sudah puas Puan Leha mengarahkan anaknya supaya merantau mencari pekerjaan yang lebih baik namun itu lah pekerjaan yang dipilih oleh Raziman walaupun dengan pendapatan yang tidak seberapa.
            “Man, pergilah cari kerja yang elok sikit, biarlah orang yang ayah kau upah tu usahakan ladang sayur tu..” Nasihat Puan Leha kepada Raziman.
            “Laa.. tidak apa la bu, kerja macam ni sudah elok bagi Man,’’ ujar Raziman yang sememangnya lebih suka mewarisi pekerjaan ayahnya, Pak Hamdan.
            “Biar saja lah anak kau tu yang degil rasa macam mana peritnya kerja sebagai petani. Kalau memang masih muda-muda tu, memang la dia rasa masih ok saja, bila sudah tua, jangan menyesal sebab tak ikut cakap orang tua. Tulah pasal suka ikut kehendak diri sendiri saja.” Tengking Pak Hamdan walaupun tahu tengkingannya itu hanyalah sia-sia.
            “Man, kau tidak malu dengan orang kampung? Kau tengok abang kakak kau yang lain, semua dah bekerjaya,dah hidup senang, dah ada rumah tangga sendiri, kau pula masih lagi terperuk dalam kampung ni, kalau takda yang nak kan kau nanti macam mana, sekurang-kurangnya, kau carilah kerja yang elok sikit, biar orang pandang tak hina sangat.” Puan Leha masih tidak jemu-jemu menasihati Raziman,. Walaupun Raziman merupakan anaknya yang selalu mendatangkan masalah kepadanya sejak dari kecil, namun Puan Leha masih sangat sayang akan anaknya seperti mana dia menyayangi anaknya yang lain.
            Raziman terdiam. Terguris sedikit hatinya apabila ibunya berkata sedemikian.
“ya lah ibu, nanti kalau Man dah jumpa kerja yang elok sikit, nanti Man pergilah.” Jawab Raziman ringkas untuk menyenangkan hati ibunya.
            “Bu, Iman pergi dulu” kata Raziman mengakhiri perbualan dengan ibunya lalu berganjak pergi dari situ. Puan Leha tahu, Raziman hanya ingin menyenangkan hatinya. Dia tahu, Raziman lebih suka bekerja sedemikian berbanding dengan merantau mencari pekerjaan yang lebih baik di luar sana.
            Bunyi enjin lori kedengaran menandakan Raziman telah mula menghidupkan enjin kenderaan. Lori sayur yang dahulunya dimiliki oleh Pak Hamdan, kini menjadi milik Raziman. Itu pun setelah dipaksa oleh Pak Hamdan supaya Raziman mendapatkan lesen E untuk membawa lori tersebut. Semua ditanggung oleh Pak Hamdan sendiri. Namun, setelah lama bekerja sebagai pemandu lori sayur, Pak Hamdan pula menggesa Raziman supaya menyerahkan pekerjaan itu kepada orang upahannya. Namun Raziman enggan walaupun sudah dipaksa berulang-ulang kali. Sehingga sekarang, masih belum tergerak hati Raziman untuk mencari pekerjaan selain menjadi pengganti Pak Hamdan sendiri. Pak Hamdan tahu, bukan senang menggesa Raziman. Kalau ikutkan hati Pak Hamdan, mahu sahaja dia mengheret Raziman mencari pekerjaan, kalau tidak, dia akan mendukung Raziman seperti mana dia mendukung Raziman ke sekolah sewaktu Raziman masih di bangku sekolah rendah lagi.
            Namun pun begitu, Pak Hamdan sedar, bahawa anaknya Raziman sudah banyak berubah akhir-akhir ini, Raziman yang dahulunya akan melawan apabila ditegur, protes apabila di beri nasihat, kini tidak. Raziman banyak termenung baru-baru ini. Mungkin mengenangkan nasibnya. Dia banyak mendiamkan diri walaupun di marahi. Dulu, Raziman lah yang selalu bertikam lidah dengan Pak Hamdan. Dialah satu-satunya anak Pak Hamdan yang diberi gelaran anak durhaka. Puan Leha sudah beberapa kali hampir terkena libasan parang dari Pak Hamdan yang tidak dapat membendung amarahnya mengacah-acah memukul Raziman dengan parang itu. Raziman pada ketika itu masih belasan tahun. Maklumlah, berdarah muda kata orang.
            Pak Hamdan masih di beranda memikirkan anak-anaknya. Apa khabar mereka semua? Kenapa masih belum balik ke Kampung lagi? Mana telefon bimbit mereka yang canggih itu untuk diguna pakai membuat panggilan kepada kedua-dua orang tuanya? Pak Hamdan tertanya-tanya seorang diri.
            “Leha, ada tak anak kita call baru-baru ni?” Tanya Pak Hamdan tiba-tiba kepada Puan Leha yang sedang menyiram bunga di luar beranda.
            Puan leha yang sedang sibuk menyiram bunga berhenti seketika. Dia memandang Pak Hamdan dengan pilu.
            “Ini sudah lama benar anak kita tidak balik rumah lagi bang, kalau ada pun dia orang call baru-baru ni, takkan lah Leha tak bagi tahu..” jawab puan Leha dengan nada sedikit terkilan. Puan Leha menarik nafasnya seketika dan menyambung,
            “Saya ada suruh juga Raziman call budak-budak tu, tapi katanya sibuk, nanti bila ada masa lapang nanti, dia orang call lah balik.” Puan Leha menyenangkan hatinya sendiri sambil meneruskan kerjanya menyiram bunga.
            Pak Hamdan mengeluh. Jelas sekali kelihatan mukanya menggambarkan perasaan sedih.
            “Ya lah kalau budak-budak tu nanti balik. Ini call pun tidak. Bila call pula, masih sibuk, agak-agaknya bila lah sibuk tu nak habis.” Pak Hamdan masih belum puas hati dengan jawapan Puan Leha. Macam-macam perasaan Pak Hamdan sekarang. Ada rasa risau berbaur sedikit kecewa juga. Pak Hamdan mengeluh lagi dan berdiri dari kerusi malas nya. Puan Leha meneruskan kerjanya tanpa menghiraukan Pak Hamdan.
            Pak Hamdan mengambil telefon bimbitnya yang terletak berdekatan dengan kaca televisyen tempat di mana Pak Hamdan menyimpan telefon bimbitnya. Di carinya nombor telefon anaknya yang pertama seraya membuat panggilan. Panggilan yang pertama, tidak ada yang menyambut., Pak Hamdan tidak berputus asa. Dia membuat panggilan yang kedua. Tetapi keputusan masih tetap sama. Tiada yang menyambutnya. Pak Hamdan membuat panggilan yang seterusnya pula, namun hampa. Masih tidak ada yang menyambutnya. Mungkin masih sedang bekerja, fikir Pak Hamdan. Pak Hamdan mengambil keputusan untuk membuat panggilan kepada anaknya yang kedua pula. Dalam hati Pak Hamdan berharap supaya anaknya yang kedua ini menyambut panggilannya. Pak Hamdan menekan butang dial, selang beberapa ketika, kedengaran bunyi orang menyahut di corong telefon, anak Pak Hamdan yang kedua Pak Hamdan menyambut panggilan Pak Hamdan.
            “Ya ayah?” belum sempat Pak Hamdan menyapa, Siti Aisyah, anak Pak Hamdan yang kedua yang merupakan seorang jurutera seni bina menyapa Pak Hamdan. Pak Hamdan gembira mendengar suara anaknya. Jarang-jarang sekali dia mendengar suara-suara anak kesayangannya nun jauh di sana.
            “Kamu apa khabar Shah? Bila nak balik? Kenapa tak pernah call ayah? Sibuk tak sekarang ni?” bertubi-tubi soalan yang ditujukan kepada Aisyah.
            Aisyah terkejut. Namun pada ketika itu, dia sedang sibuk berbincang dengan majikannnya tentang kerjanya.
            “Maaf ayah, Aisyah sedang sibuk sekarang, nanti Aisyah call balik lepas dah balik kerja nanti.” Begitu banyak soalan yang ditujukan tapi hanya satu soalan saja yang dijawab oleh Aisyah. Itu pun soalan yang terakhir.
            “Jangan lupa call balik ayah lepas ni,” ujar Pak Hamdan yang sedikit kecewa dengan jawapan dari Aisyah lalu mengakhiri perbualan dengan anaknya selepas anaknya mengiyakan menandakan dia bersetuju untuk menelefon ayahnya nanti.
            Pak Hamdan mencari pula nombor telefon bimbit anaknya yang ketiga dengan harapan anaknya yang ketiga tidak mengecewakannya. Dengan penuh harapan, Pak Hamdan membuat panggilan yang pertama kepada anaknya. Namun Pak Hamdan hampa kerana tiada yang menjawab panggilan tersebut. Sehingga panggilan yang keempat, namun keputusan tetap sama. Pak Hamdan mengeluh lagi. Dia berasa kecewa berbaur rasa sedih kerana belum mendapat respon dari anaknya namun apakan daya. Dia kena faham dengan situasi anak-anaknya sekarang.
            Pak Hamdan meletakkan kembali telefon bimbitnya ke tempat asalnya. Dia kemudiannya duduk di atas sofa empuk dan menenangkan dirinya sendiri. Pada ketika itu, Puan Leha sudah masuk ke beranda mengemaskan ruang di situ.
            “Jangan lah difikirkan lagi tentang budak-budak tu, nanti bila dah ada masa lapang, pandai lah dia orang call balik nanti.” Rupanya Puan Leha sudah mengetahui Pak Hamdan akan membuat panggilan melalui telefon bimbit untuk bertanya khabar tentang anak-anaknya.       
            “Aisyah tadi ada jawab, tapi itu pun dia kata nanti dia call balik. Tapi selalunya jarang dia sambut call.” Keluh Pak Hamdan yang dari tadinya masih lagi belum ada sinar ceria pada raut wajahnya. Sudah banyak kali dia membuat panggilan terhadap anak-anaknya namun jarang sekali dia mendapat balasan apatah lagi berbual lama dengan anaknya ditambah lagi kesemua anaknya bukan sahaja sibuk dalam pekerjaan masing-masing tapi juga sibuk dengan rumah tangga sendiri. Nak suruh balik? Itu pun sudah banyak kali Pak Hamdan menggesa anak-anaknya balik ke rumah. Namun seorang pun belum ada kesempatan untuk balik ke kampung halaman sendiri.
            Tiba-tiba pula dia teringatkan Raziman. Kalau-kalau Raziman pergi merantau jauh nanti, makin sunyi lah pula kehidupannya dengan Puan Leha tanpa suara anak-anaknya di dalam rumahnya. “Kenapa pula saya teringatkan Raziman tu, bukannya dia boleh diaharap pun.. “ suara hati Pak Hamdan berbisik. Dia sangat berharap anak-anaknya yang lain akan datang menjenguknya biarpun sehari dua. Ini tidak, jawab panggilan telefon pun amat jarang sekali.
            Walaupun hidup Pak Hamdan dan Puan Leha dikatakan sudah semakin senang, namun dia juga perlu mendapat perhatian dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Ditambah lagi kesihatannya yang sudah kian merosot baru-baru ini. Pak Hamdan teringin sekali mendengar suara anak-anaknya yang sudah kian lama tidak dia dengari. Dia rindu terhadap anaknya. Kalau boleh putarkan masa, dia masih mahu bersama anak-anaknya untuk memenuhi ruang hidupnya. Tapi apakan daya, dia sudah tua, masa terasa berlalu begitu pantas sekali. Anak-anaknya semua sudah besar dan masing-masing mempunyai hala tuju sendiri.
            Pak Hamdan kemudian memandang kearah jam dinding. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.50 pm. Di sebelah jam itu terpapar gambar anak-anaknya yang masing-masing memegang segulung ijazah. Semakin sebak hati Pak Hamdan terpandang gambarnya bersama anak-anaknya sewaktu anaknya menerima segulung ijazah dulu. Semakin rindu jugalah Pak Hamdan terhadap anak-anaknya.
Pak Hamdan bergegas ke bilik air untuk mengambil air wudhu kerana dia ingin menunaikan solat zohor. Walaupun khudratnya sudah tidak kuat lagi, namun Pak Hamdan tidak pernah meninggalkan solat. Walaupun baru-baru ini beliau merasakan dadanya selalu saja sakit, solat adalah perkara penting yang tidak pernah ditinggalkan oleh Pak Hamdan.
Pak Hamdan kemudiannya menuju ke ruang solat dan di sana dia mula mengerjakan amal ibadahnya. Rasa sakit dalam dada Pak Hamdan datang apabila dia menunduk sujud ataupun apabila rukuk. Namun, Pak Hamdan tidak menghiraukannya, dia masih meneruskan solatnya sehinggalah rakaat yang terakhir. Pak Hamdan mengucapkan salam dan membaca doa. Sudah menjadi amalan Pak Hamdan untuk mendoakan kesejahteraan untuk sekeluarganya. Teringat Pak Hamdan tiba-tiba terhadap anak-anak kesayangannya nun jauh di seberang sana. Dia menambah isi dalam doanya kepada Allah S.W.T supaya dia dapat berjumpa dengan anaknya. Dia mendoakan supaya anak-anaknya pulang ke rumah untuk berjumpa dengannya serta isterinya. Tanpa tidak disedari, berlinangan air mata Pak Hamdan membasahi pipinya. Tersedu-sedan Pak Hamdan meneruskan doanya merayu kepada Allah yang maha agung untuk menunaikan permintaannya. Sakit dada Pak Hamdan disusuli dengan sebak di dadanya menambahkan lagi sakit itu. Selesai saja berdoa, Pak Hamdan diam merenung dinding. Beliau masih lagi bersedih dan sudah lupa akan kesakitan di dadanya. Beliau kemudian berdiri perlahan-lahan untuk ke ruang tamu.
            Tiba-tiba, Pak Hamdan terjatuh semula. Dia berusaha untuk berdiri kembali. Namun, dia sukar untuk berdiri. Kesakitan di dadanya sudah semakin teruk. Begitu lama dia tertunduk menahan kesakitan dan kemudian pengsan tanpa dia sedar.
            Puan Leha pada ketika itu sudah pun siap menghidang makanan tengah hari. Selalunya, dia akan bersama-sama dengan suaminya untuk menunaikan solat di dalam rumah jika Pak Hamdan tidak keluar untuk menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid. Tapi memandangkan Puan Leha sudah menunaikan solat terlebih dahulu dan disangkanya Pak Hamdan akan ke surau untuk menunaikan solat secara berjemaah, dia terus sahaja ke dapur untuk menyediakan makanan tengah hari selepas selesai saja menyelesaikan kerjanya di luar rumah.
            Puan Leha masih menunggu Pak Hamdan untuk bersama-samanya menjamu selera. Kalau Raziman datang, boleh lah mereka sama-sama menikmati makanan tengah hari tersebut. Tapi itu pun kalau Raziman datang, biasanya, dia akan datang selepas selesai sahaja solat zohor. Kalau sudah masa-masa seperti ini, Raziman tidak akan datang sebab mungkin dia akan makan di tempat lain.
            Selang beberapa ketika, Pak Hamdan masih belum muncul lagi.  Puan Leha hairan kerana biasanya Pak Hamdan tidak lah sebegitu lama untuk menunaikan solat zohor. Takkan lah berzikir begitu lama. Fikir Puan Leha. Puan Leha menuju kearah ruang solat untuk melihat sama ada Pak Hamdan sudah selesai mengerjakan solat ataupun belum. Puan Leha membuka sedikit tirai langsir ruang solat tersebut. Dilihatnya Pak Hamdan terbaring di atas sejadah, disangkanya Pak Hamdan tertidur atas sejadah tersebut.
            “Ai,. Tertidur pula dia dalam ni, ingatkan berzikir lama sangat tadi..” Sergah Puan Leha tapi tidak mendapat respon dari Pak Hamdan.
            Puan Leha kemudian membangunkan Pak Hamdan dengan menepuk-nepuk bahu Pak Hamdan. “Abang,. Mari makan tengah hari., makanan dah lama tersedia dah tu, takut sejuk pula nanti.” Kejut Puan Leha kepada Pak Hamdan. Namun masih tidak mendapat respon dari Pak Hamdan. “Abang,. Abang..” Puan Leha masih mengejutkan suaminya. Puan Leha kemudian menarik bahu suaminya lalu terlihatlah wajah Pak Hamdan. Puan Leha mula berasa serba tak kena. Kelihatan wajah Pak Hamdan yang tidak bermaya dengan matanya masih bergerak-gerak sedikit berusaha untuk bangun.  Pak Hamdan memegang dadanya yang sedang sakit. Kedengaran Pak Hamdan mengerang kesakitan apabila Puan Leha menarik bahunya tadi.
            “Masya Allah!! Abang!!” Puan Leha terjerit sedikit.. Sambil berlari keluar, Puan Leha menjerit meminta bantuan. Puan Leha teringatkan telefon bimbit suaminya yang berdekatan dengan kaca televisyen, dia berlari mendapatkan telefon bimbit itu. Malangnya dia tidak tahu menggunakan telefon bimbit tersebut. Dibawa nya keluar bersama telefon bimbit itu dan menjerit lagi..
            “Tolong!!, Tolong!!” jerit Puan Leha sambil mundar mandir di luar beranda. Mujurlah ada jiran yang bersebelahan dengan mereka mendengar jeritan Puan Leha itu. Puan Leha mendapati jirannya Mak Baidah sedang bergegas menuju kearah rumah Puan Leha. Puan Leha bergegas kembali kearah Pak Hamdan. Dia kemudiannya berusaha membawa Pak Hamdan keluar ke ruang tamu.
            Mak Baidah tanpa memberi salam lagi bergegas menuju kearah Puan Leha.
“Ya Allah, Leha, apa dah jadi?” Mak Baidah dalam kekalutan itu masih mahu bertanya melihat Pak Hamdan yang mengerang menahan kesakitan.
            “Suami saya tiba-tiba terbaring masa saya jenguk dia ajak untuk makan tengah hari kak,” Puan Leha berkata laju sambil menghulurkan telefon bimbit yang dipegangya kepada Mak Baidah.
            “Kak, tolong telefon anak saya, Raziman, suruh dia cepat-cepat datang balik rumah.” Kata Puan Leha kepada Mak Baidah.
            “tidak apa, saya panggil Bang Reman bawa dulu Bang Hamdan pegi hospital.” Ujar Mak Baidah kepada Puan Leha. Mak Baidah kemudian bergegas keluar memanggil  Pak Reman yang baru sahaja ingin bergerak meninggalkan rumahnya untuk ke kerjanya semula namun dihalang oleh Mak Baidah.
            Selepas selesai saja Mak Baidah bercerita ringkas tentang Pak Hamdan, Pak Reman langsung saja mengangkat Pak Hamdan ke dalam keretaya.
x    x    x   x   x   x
            Sesampai saja mereka di hospital, Mak Baidah terus saja membuat panggilan dengan menggunakan telefon bimbit Pak Hamdan untuk memberitahu Raziman tentang kejadian tersebut. Puan Leha pada ketika itu sudah mundar mandir tidak keruan di luar pintu kecemasan. Mujurlah mereka sempat menghantar Pak Hamdan ke hospital.
            Tidak lama selepas itu, Raziman muncul di perkarangan hospital dan mencari-cari kelibat ibunya bersama Mak Baidah. Raziman langsung sahaja menuju ke bahagian jabatan kecemasan dan terus sahaja masuk. Dilihatnya ibunya dengan Mak Baidah sedang menunggu di ruangan menunggu dalam jabatan kecemasan itu. Dia lalu langsung saja meluru le arah mereka.
            “Macam mana dengan ayah bu?” Tanya Raziman yang kelihatan masih dalam kekalutan dan sedikit tercungap-cungap. Ibu Raziman yang melihat kelibat anaknya Raziman seraya menceritakan kejadian tersebut. Mak Baidah hanya memandang rasa simpati terhadap Puan Leha. Raziman menenangkan ibunya sambal itu berdoa supaya ayahnya tidak ada apa-apa.
            Selang beberapa ketika, seorang doktor keluar dari bilik kecemasan tersebut. Puan leha terus sahaja meluru kearah doktor tersebut.
            “bagaimana dengan suami saya doktor?” Puan Leha yang sudah tida sabra-sabar lagi mengetahui keadaan suaminya terus sahaja menanyakan soalan kepada doktor yang baru sahaja keluar dari bilik kecemasan tadi.
            “Begini puan, pemeriksaan awal kami lakukan mendapati ada sumbatan yang berlaku dalam tisu jantung suami Puan, buat setakat ini, kami hanya berikan suami puan suntikan pelali sebab ubat biji tidak dapat lagi diberikan kepada suami puan berdasarkan ritma jantung suami Puan yang tidak normal.” Bersungguh-sungguh Doktor tersebut  memberi penjelasan kepada Puan Leha.
            “Boleh saya jenguk suami saya?” Puan Leha yang sudah tidak sabar-sabar lagi meminta kebenaran daripada doktor untuk melihat keadaan suaminya.
            “Boleh, sebentar lagi suami Puan akan di pindahkan ke wad kecemasan. Dan saya ingin menjelaskan bahawa suami puan perlukan pembedahan segera untuk membetulkan ritma jantung suami puan” jelas doktor itu kepada Puan Leha dengan harapan Puan Leha tidak terlalu terkejut dan dapat memberikan kerjasama.
            Tidak lama selepas itu, Pak Hamdan telah dipindahkan ke wad kecemasan dan disitu, Puan Leha dan yang lain sudah pun sedia menunggu. Kelihatan Pak Hamdan sudah disambungkan oksigen dan sudah sedar.
            “Leha, awak panggil lah anak-anak kita yang lain.” Ujar Pak Hamdan terdahulu sebelum sempat Puan Leha berkata apa-apa.
            “Tak pa ayah, saya sudah hantar pesanan ringkas untuk dia orang semua tadi” Sampuk Raziman membantu ibunya menjawab untuk Pak Hamdan.
            Keadaan tenang semula sehinggalah tiba pembedahan untuk Pak Hamdan.

            Dua hari selepas kejadian itu, Raziman lah yang selalu menjaga Pak Hamdan, Raziman lah yang selalu membantu Puan Leha menguruskan kerja-kerja di rumah. Raziman lah yang membantu Pak Hamdan dalam semua perkara termasuk makan minum Pak Hamdan.
            “Bila lah abang-abang kakak kau datang balik rumah” keluh Pak Hamdan yang masih belum dapat melupakan anak-anaknya yang masih belum pulang lagi.
            “Takpa ayah, Man kan ada di rumah jaga ayah..” jawab Raziman menyenangkan hati ayahnya.
            “Man tak pegi kerja ka? Tak perlulah Man susah payah jaga ayah, ada ibu kau di rumah juga..” Pak Hamdan memandang Raziman dengan perasaan kasihan. Baru dia nampak perubahan Raziman yang sangat ketara. Sebenarnya Raziman sudah banyak berubah baru-baru ini. Namun dia tidak pernah kisah dan langsung tidak mengendahkan Raziman.
            “tak apa lah ayah, boleh Man tolong-tolongkan ibu buat kerja-kerja rumah, kasihan ibu bersendirian jaga ayah dalam rumah” Raziman tahu ayahnya cuma berdolak dalih, ayahnya tidak pernah mahu menyusahkan sesiapa termasuk isterinya sendiri.
            Pak Hamdan sayu melihat Raziman, Pak Hamdan terharu melihat Raziman yang sanggup melakukan itu semua deminya. Baru dia sedar dan dia akui, dia tidak begitu memberikan kasih sayangnya kepada Raziman selama ini. Selama ini, semua yang dilakukan oleh Raziman tidak betul di matanya sejak dia banyak kali menyusahkannya dan juga isterinya, Puan Leha. Mungkin Tuhan membuka matanya supaya dia menyedari bahawa setiap manusia juga tahu berubah begitu juga dengan Raziman. Dalam diam, Pak Hamdan bersyukur kerana masih ada anaknya yang prihatin terhadapnya.
            “Ayah..” lamunan Pak Hamdan terhenti apabila Raziman memanggilnya.
“Semalam Abang Long ada call, begitu juga dengan abang Lam dan kak Syah,” Pak Hamdan diam saja selepas mendengar berita anak-anaknya dari Raziman. Dia rasa sangat mustahil kalau anak-anaknya berbuat sedemikian melainkan dia yang membuat panggilan kepada anaknya sendiri.
            “kalau setakat call saja tak nak balik buat apa..” balas Pak Hamdan dengan nada yang kecewa.
            “dia orang kata…” belum sempat Raziman menghabiskan ayatnya kedengaran bunyi orang memanggil di luar rumahnya. Cepat-cepat Raziman menyelak langsir untuk melihat empunya suara itu.
            “Aisyah!!” Puan Leha terkejut melihat Aisyah sudah berada di depan pintu rumahnya. Puan Leha berlari keluar meninggalkan kerjanya dalam dapur. Di peluknya Aisyah erat sambil berlinangan air matanya.
“Kenapa lama tak balik Syah, ibu balik-balik suruh ayah kamu call kamu tapi kata sibuk, kamu kata nanti kau call balik tapi ibu tunggu-tunggu tak ada pun kamu call.” Tersedu sedan Puan Leha dalam dakapan Aisyah.
            “Maafkan Aisyah bu, Aisyah selalu sibuk sehinggakan lupa call ibu balik” Aisyah yang sudah lama tidak berjumpa dengan ibunya memeluk erat ibunya sambil menangis tersedu sedan.
            “Masuk lah kedalam, ayah kau dah lama tunggu kau” Puan Leha menjemput Aisyah yang sudah lama di dalam dakapannya.
            Sesampai saja Aisyah kedalam rumah, berlinangan air mata Pak Hamdan menyambut kedatangan anaknya. Di peluknya Pak Hamdan erat begitu juga dengan adiknya Raziman.
            “Mana abang-abang kamu yang lain?” Tanya Pak Hamdan kepada Aisyah.
            “Abang Long dan Abang Lam tidak lama lagi nanti sampai, dia orang berdua dalam perjalanan balik dah..” Kata Aisyah kepada ayahnya. Pak Hamdan senang mendengar jawapan itu daripada Aisyah. Dia mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana telah memakbulkan doanya.
            “ayah macam mana sekarang? Maafkan Aisyah sebab jarang hubungi ayah dengan ibu” ujar Aisyah yang masih belum redha dalam tangisannya.
            “Ayah baru saja lepas selesai jalani pembedahan, mudah-mudahan ayah baik saja lepas ni” Raziman membantu menjawab bagi pihak ayahnya kerana ayahnya hampir tidak dapat menjawab disebabkan tangisannya yang membuakan dia tersedak.
            Anak-anak Pak Hamdan yang lain,meyusuli sampai ke rumah tidak lama selepas itu. Terharu Pak Hamdan kerana dia dapat kembali bersama dengan anak-anaknya yang sudah kian lama meninggalkannya. Betapa dia sangat bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepadanya supaya dia dapat berjumpa dengan anak-anaknya kembali setelah sudah sekian lama.

            Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, hujan gerimis turun seperti terharu  mengalu-alukan kedatangan anak-anak Pak Hamdan. Begitulah juga dengan Pak Hamdan dan Puan Leha yang sudah kian lama menantikan kepulangan anaknya.

No comments:

Post a Comment