Hai semua, ini merupakan cerpen saya yang mendapat naib johan dalam pertandingan cerpen di kolej sains kesihatan bersekutu kota kinabalu... hehe.. selamat membaca...
“Jangan
katakan seorang, malah hampir semua anak aku berkerjaya!!” kata-kata itu masih
terngiang-ngiang di benak fikiran Pak Hamdan yang bangga dengan anak-anaknya
yang berkerjaya. Hampir seluruh penduduk kampung di kampungnya mengenali Pak
Hamdan yang diberi rezeki besar di mana hampir kesemua anak-anaknya mendapat
pekerjaan yang menjamin masa hadapan.
Pak
Hamdan, 63 tahun, yang dahulunya seorang petani biasa, kini mampu membeli
sebidang tanah di Kundasang untuk di usahakan. Kalau dahulu, dialah yang
berhempas pulas mengerjakan tanaman sayur-sayurannya, dialah yang mengesat
peluh tidak mengenal erti penat dan lelah, dialah yang selalu risau siang dan
malam tentang kehidupannya yang tidak menentu. Kini, kehidupannya berubah
setelah anak-anaknya berjaya dalam pendidikan dan mendapatkan pekerjaan yang
yang telah mengubah nasib sekeluarganya.
Masih
ingat lagi Pak Hamdan senyumannya terukir begitu mekar sekali di bibirnya
semasa anaknya mendapat segulung ijazah dalam bidang perguruan yang kini
bekerja sebagai guru Matematik di sebuah sekolah menengah jauh dari tempat
tinggalnya. Anaknya yang kedua pula mendapat tawaran bekerja sebagai seorang jurutera
seni bina yang kini dihantar jauh dari seberang iaitu di Melaka. Anaknya yang
ketiga pula, baru-baru ini mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah hospital
besar di Selayang yang terletak di Selangor sebagai seorang Pegawai Perubatan. Masih
segar lagi dalam ingatan Pak Hamdan akan isterinya yang pada ketika itu tidak
jemu-jemu bercerita tentang anak-anaknya kepada sesiapa sahaja yang datang
melawat ke rumah Pak Hamdan.
“Alhamdulillah,
anak saya tiga orang semua sudah capai impian masing-masing. Sekarang ni, tidak
perlulah saya bersusah payah bekerja keras lagi.” Ujar Puan Leha, isteri kepada
Pak Hamdan terhadap rakan-rakannya yang datang menjenguk untuk melawat Puan
Leha.
“Untunglah
Leha, tidak sia-sia awak membesarkan anak awak.” jawab Puan Aminah yang
merupakan rakan karib Puan Leha di Kampung itu.
Begitu
lah Puan Leha meluahkan rasa bangganya kepada rakan-rakannya terhadap
pencapaian anak-anaknya. Pak Hamdan dan Puan Leha yang dahulunya hidup susah
kini sudah semakin senang disebabkan anak-anaknya yang telah bekerjaya. Setiap
bulan, anak-anaknya akan mengirimkan wang kepada kedua-dua orang tuanya. Pak
Hamdan dan Puan Leha tidak pernah merasa susah tentang wang ataupun hal-hal
yang berkaitan dengan keperluan mereka.
Sungguhpun
begitu, anak keempat Pak Hamdan, Raziman, yang kini sudah berusia 29 tahun,
sangat mengecewakan Pak Hamdan dan Puan Leha. Raziman seorang yang malas
belajar dan lebih gemar bekerja kampung. Kalau waktu dahulu abang dan kakaknya
ke sekolah, dia selalu akan ponteng dan mengikut rakan-rakannya untuk melepak
ke “cyber” ataupun tempat yang jauh dari sekolah. Pernah juga dia terlibat
dalam kes masalah disiplin di sekolah dan sudah beberapa kali digantung
sekolah. Raziman tidak menghabiskan pengajiannya. Dia berhenti sekolah sewaktu
tingkatan dua. Pernah juga ibunya merayu-rayu menangis di depan guru disiplin
supaya anaknya Raziman, diterima masuk ke sekolah. Sekali dua, rayuan Puan Leha
masih diterima oleh guru disiplin tersebut. Tetapi kes masalah disiplin Raziman
sudah melebihi dari lima kali. Sehinggakan Raziman sendiri sudah malu untuk bersekolah
di sekolah itu lagi. Namun Puan Leha tidak pernah malu untuk berjumpa dengan
guru disiplin itu lagi sehingakan guru disiplin tersebut juga terlepas kata
memaki hamun Raziman di depan ibunya sendiri. Guru disiplin itu pun sudah jemu
terhadap masalah disiplin yang ditimbulkan oleh Raziman lalu menyerahkan kes
tersebut kepada Pejabat Pendidikan Daerah. Kes yang selalu ditimbulkan oleh
Raziman ialah kes gaduh yang menyebabkan Raziman ke pejabat polis kerana
mencederakan seorang pelajar.
Kini,
Raziman berasa sungguh menyesal akibat salah langkahnya. Kes yang terberat yang
Raziman telah lakukan dan merupakan kesalahan yang tidak boleh dilupakan oleh
Raziman sendiri, di mana Raziman menghulurkan tangan membantu rakannya yang
bergaduh dengan pelajar lain hanya disebabkan oleh teman wanita yang langsung
mengakibatkan musuh rakannya cedera bahagian kepala akibat dipukul berkali-kali
sehingga pengsan. Kes ini bukan sahaja di bawa ke mahkamah, malah Raziman
dipenjarakan satu minggu tiga hari sehingga mendapat belas kasihan daripada ibu
bapa mangsa untuk melepaskan Raziman. Dari hari itu, Raziman telah dibuang ke
sekolah dan ditempatkan di sekolah pemulihan. Namun Raziman sudah tidak mahu
bersekolah lagi dengan alasan tidak lagi mahu menyusahkan kedua-dua orang
tuanya.
Pak
Hamdan dan Puan Leha sendiri sudah putus asa dengan sikap Raziman yang
sedemikian. Sudah tidak berkesan lagi kata-kata nasihat dari Puan Leha, sudah
tidak berkesan lagi suara tengkingan Pak Hamdan dan sebatan yang diberi kepada
Raziman, namun inilah pengakhiran Raziman yang akhirnya menjadi buah mulut
orang ramai yang mengenali keluarga Pak Hamdan.
Raziman
kini menggantikan ayahnya bekerja sebagai penjual sayur di Kundasang. Walaupun
adik beradiknya yang lain tidak lupa mengirimkan wang setiap bulan melalui buku
akaun Pak Hamdan, namun Raziman malu untuk berharap kepada adik beradiknya yang
sudah bekerjaya. Pak Hamdan sudah berkali-kali menghulurkan wang kepada Raziman
namun Raziman enggan menerimanya. Sudah puas Puan Leha mengarahkan anaknya
supaya merantau mencari pekerjaan yang lebih baik namun itu lah pekerjaan yang
dipilih oleh Raziman walaupun dengan pendapatan yang tidak seberapa.
“Man,
pergilah cari kerja yang elok sikit, biarlah orang yang ayah kau upah tu
usahakan ladang sayur tu..” Nasihat Puan Leha kepada Raziman.
“Laa..
tidak apa la bu, kerja macam ni sudah elok bagi Man,’’ ujar Raziman yang
sememangnya lebih suka mewarisi pekerjaan ayahnya, Pak Hamdan.
“Biar
saja lah anak kau tu yang degil rasa macam mana peritnya kerja sebagai petani.
Kalau memang masih muda-muda tu, memang la dia rasa masih ok saja, bila sudah
tua, jangan menyesal sebab tak ikut cakap orang tua. Tulah pasal suka ikut
kehendak diri sendiri saja.” Tengking Pak Hamdan walaupun tahu tengkingannya
itu hanyalah sia-sia.
“Man,
kau tidak malu dengan orang kampung? Kau tengok abang kakak kau yang lain,
semua dah bekerjaya,dah hidup senang, dah ada rumah tangga sendiri, kau pula
masih lagi terperuk dalam kampung ni, kalau takda yang nak kan kau nanti macam
mana, sekurang-kurangnya, kau carilah kerja yang elok sikit, biar orang pandang
tak hina sangat.” Puan Leha masih tidak jemu-jemu menasihati Raziman,. Walaupun
Raziman merupakan anaknya yang selalu mendatangkan masalah kepadanya sejak dari
kecil, namun Puan Leha masih sangat sayang akan anaknya seperti mana dia
menyayangi anaknya yang lain.
Raziman
terdiam. Terguris sedikit hatinya apabila ibunya berkata sedemikian.
“ya lah ibu, nanti kalau Man dah jumpa kerja yang elok
sikit, nanti Man pergilah.” Jawab Raziman ringkas untuk menyenangkan hati
ibunya.
“Bu,
Iman pergi dulu” kata Raziman mengakhiri perbualan dengan ibunya lalu berganjak
pergi dari situ. Puan Leha tahu, Raziman hanya ingin menyenangkan hatinya. Dia
tahu, Raziman lebih suka bekerja sedemikian berbanding dengan merantau mencari
pekerjaan yang lebih baik di luar sana.
Bunyi
enjin lori kedengaran menandakan Raziman telah mula menghidupkan enjin
kenderaan. Lori sayur yang dahulunya dimiliki oleh Pak Hamdan, kini menjadi
milik Raziman. Itu pun setelah dipaksa oleh Pak Hamdan supaya Raziman
mendapatkan lesen E untuk membawa lori tersebut. Semua ditanggung oleh Pak
Hamdan sendiri. Namun, setelah lama bekerja sebagai pemandu lori sayur, Pak
Hamdan pula menggesa Raziman supaya menyerahkan pekerjaan itu kepada orang
upahannya. Namun Raziman enggan walaupun sudah dipaksa berulang-ulang kali. Sehingga
sekarang, masih belum tergerak hati Raziman untuk mencari pekerjaan selain
menjadi pengganti Pak Hamdan sendiri. Pak Hamdan tahu, bukan senang menggesa
Raziman. Kalau ikutkan hati Pak Hamdan, mahu sahaja dia mengheret Raziman
mencari pekerjaan, kalau tidak, dia akan mendukung Raziman seperti mana dia
mendukung Raziman ke sekolah sewaktu Raziman masih di bangku sekolah rendah
lagi.
Namun
pun begitu, Pak Hamdan sedar, bahawa anaknya Raziman sudah banyak berubah
akhir-akhir ini, Raziman yang dahulunya akan melawan apabila ditegur, protes
apabila di beri nasihat, kini tidak. Raziman banyak termenung baru-baru ini.
Mungkin mengenangkan nasibnya. Dia banyak mendiamkan diri walaupun di marahi.
Dulu, Raziman lah yang selalu bertikam lidah dengan Pak Hamdan. Dialah
satu-satunya anak Pak Hamdan yang diberi gelaran anak durhaka. Puan Leha sudah
beberapa kali hampir terkena libasan parang dari Pak Hamdan yang tidak dapat
membendung amarahnya mengacah-acah memukul Raziman dengan parang itu. Raziman
pada ketika itu masih belasan tahun. Maklumlah, berdarah muda kata orang.
Pak
Hamdan masih di beranda memikirkan anak-anaknya. Apa khabar mereka semua?
Kenapa masih belum balik ke Kampung lagi? Mana telefon bimbit mereka yang
canggih itu untuk diguna pakai membuat panggilan kepada kedua-dua orang tuanya?
Pak Hamdan tertanya-tanya seorang diri.
“Leha,
ada tak anak kita call baru-baru ni?” Tanya Pak Hamdan tiba-tiba kepada Puan
Leha yang sedang menyiram bunga di luar beranda.
Puan
leha yang sedang sibuk menyiram bunga berhenti seketika. Dia memandang Pak
Hamdan dengan pilu.
“Ini
sudah lama benar anak kita tidak balik rumah lagi bang, kalau ada pun dia orang
call baru-baru ni, takkan lah Leha tak bagi tahu..” jawab puan Leha dengan nada
sedikit terkilan. Puan Leha menarik nafasnya seketika dan menyambung,
“Saya
ada suruh juga Raziman call budak-budak tu, tapi katanya sibuk, nanti bila ada
masa lapang nanti, dia orang call lah balik.” Puan Leha menyenangkan hatinya
sendiri sambil meneruskan kerjanya menyiram bunga.
Pak Hamdan
mengeluh. Jelas sekali kelihatan mukanya menggambarkan perasaan sedih.
“Ya lah
kalau budak-budak tu nanti balik. Ini call pun tidak. Bila call pula, masih
sibuk, agak-agaknya bila lah sibuk tu nak habis.” Pak Hamdan masih belum puas
hati dengan jawapan Puan Leha. Macam-macam perasaan Pak Hamdan sekarang. Ada
rasa risau berbaur sedikit kecewa juga. Pak Hamdan mengeluh lagi dan berdiri
dari kerusi malas nya. Puan Leha meneruskan kerjanya tanpa menghiraukan Pak
Hamdan.
Pak
Hamdan mengambil telefon bimbitnya yang terletak berdekatan dengan kaca
televisyen tempat di mana Pak Hamdan menyimpan telefon bimbitnya. Di carinya
nombor telefon anaknya yang pertama seraya membuat panggilan. Panggilan yang
pertama, tidak ada yang menyambut., Pak Hamdan tidak berputus asa. Dia membuat
panggilan yang kedua. Tetapi keputusan masih tetap sama. Tiada yang
menyambutnya. Pak Hamdan membuat panggilan yang seterusnya pula, namun hampa.
Masih tidak ada yang menyambutnya. Mungkin masih sedang bekerja, fikir Pak
Hamdan. Pak Hamdan mengambil keputusan untuk membuat panggilan kepada anaknya
yang kedua pula. Dalam hati Pak Hamdan berharap supaya anaknya yang kedua ini
menyambut panggilannya. Pak Hamdan menekan butang dial, selang beberapa ketika,
kedengaran bunyi orang menyahut di corong telefon, anak Pak Hamdan yang kedua
Pak Hamdan menyambut panggilan Pak Hamdan.
“Ya
ayah?” belum sempat Pak Hamdan menyapa, Siti Aisyah, anak Pak Hamdan yang kedua
yang merupakan seorang jurutera seni bina menyapa Pak Hamdan. Pak Hamdan
gembira mendengar suara anaknya. Jarang-jarang sekali dia mendengar suara-suara
anak kesayangannya nun jauh di sana.
“Kamu
apa khabar Shah? Bila nak balik? Kenapa tak pernah call ayah? Sibuk tak
sekarang ni?” bertubi-tubi soalan yang ditujukan kepada Aisyah.
Aisyah
terkejut. Namun pada ketika itu, dia sedang sibuk berbincang dengan majikannnya
tentang kerjanya.
“Maaf
ayah, Aisyah sedang sibuk sekarang, nanti Aisyah call balik lepas dah balik
kerja nanti.” Begitu banyak soalan yang ditujukan tapi hanya satu soalan saja
yang dijawab oleh Aisyah. Itu pun soalan yang terakhir.
“Jangan
lupa call balik ayah lepas ni,” ujar Pak Hamdan yang sedikit kecewa dengan
jawapan dari Aisyah lalu mengakhiri perbualan dengan anaknya selepas anaknya
mengiyakan menandakan dia bersetuju untuk menelefon ayahnya nanti.
Pak
Hamdan mencari pula nombor telefon bimbit anaknya yang ketiga dengan harapan
anaknya yang ketiga tidak mengecewakannya. Dengan penuh harapan, Pak Hamdan
membuat panggilan yang pertama kepada anaknya. Namun Pak Hamdan hampa kerana
tiada yang menjawab panggilan tersebut. Sehingga panggilan yang keempat, namun
keputusan tetap sama. Pak Hamdan mengeluh lagi. Dia berasa kecewa berbaur rasa
sedih kerana belum mendapat respon dari anaknya namun apakan daya. Dia kena
faham dengan situasi anak-anaknya sekarang.
Pak Hamdan
meletakkan kembali telefon bimbitnya ke tempat asalnya. Dia kemudiannya duduk
di atas sofa empuk dan menenangkan dirinya sendiri. Pada ketika itu, Puan Leha
sudah masuk ke beranda mengemaskan ruang di situ.
“Jangan
lah difikirkan lagi tentang budak-budak tu, nanti bila dah ada masa lapang,
pandai lah dia orang call balik nanti.” Rupanya Puan Leha sudah mengetahui Pak
Hamdan akan membuat panggilan melalui telefon bimbit untuk bertanya khabar
tentang anak-anaknya.
“Aisyah
tadi ada jawab, tapi itu pun dia kata nanti dia call balik. Tapi selalunya
jarang dia sambut call.” Keluh Pak Hamdan yang dari tadinya masih lagi belum
ada sinar ceria pada raut wajahnya. Sudah banyak kali dia membuat panggilan
terhadap anak-anaknya namun jarang sekali dia mendapat balasan apatah lagi
berbual lama dengan anaknya ditambah lagi kesemua anaknya bukan sahaja sibuk
dalam pekerjaan masing-masing tapi juga sibuk dengan rumah tangga sendiri. Nak
suruh balik? Itu pun sudah banyak kali Pak Hamdan menggesa anak-anaknya balik
ke rumah. Namun seorang pun belum ada kesempatan untuk balik ke kampung halaman
sendiri.
Tiba-tiba
pula dia teringatkan Raziman. Kalau-kalau Raziman pergi merantau jauh nanti,
makin sunyi lah pula kehidupannya dengan Puan Leha tanpa suara anak-anaknya di
dalam rumahnya. “Kenapa pula saya teringatkan Raziman tu, bukannya dia boleh
diaharap pun.. “ suara hati Pak Hamdan berbisik. Dia sangat berharap
anak-anaknya yang lain akan datang menjenguknya biarpun sehari dua. Ini tidak,
jawab panggilan telefon pun amat jarang sekali.
Walaupun
hidup Pak Hamdan dan Puan Leha dikatakan sudah semakin senang, namun dia juga
perlu mendapat perhatian dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Ditambah lagi
kesihatannya yang sudah kian merosot baru-baru ini. Pak Hamdan teringin sekali
mendengar suara anak-anaknya yang sudah kian lama tidak dia dengari. Dia rindu
terhadap anaknya. Kalau boleh putarkan masa, dia masih mahu bersama
anak-anaknya untuk memenuhi ruang hidupnya. Tapi apakan daya, dia sudah tua,
masa terasa berlalu begitu pantas sekali. Anak-anaknya semua sudah besar dan
masing-masing mempunyai hala tuju sendiri.
Pak
Hamdan kemudian memandang kearah jam dinding. Jam di dinding sudah menunjukkan
pukul 12.50 pm. Di sebelah jam itu terpapar gambar anak-anaknya yang
masing-masing memegang segulung ijazah. Semakin sebak hati Pak Hamdan
terpandang gambarnya bersama anak-anaknya sewaktu anaknya menerima segulung
ijazah dulu. Semakin rindu jugalah Pak Hamdan terhadap anak-anaknya.
Pak Hamdan bergegas ke bilik
air untuk mengambil air wudhu kerana dia ingin menunaikan solat zohor. Walaupun
khudratnya sudah tidak kuat lagi, namun Pak Hamdan tidak pernah meninggalkan
solat. Walaupun baru-baru ini beliau merasakan dadanya selalu saja sakit, solat
adalah perkara penting yang tidak pernah ditinggalkan oleh Pak Hamdan.
Pak Hamdan kemudiannya
menuju ke ruang solat dan di sana dia mula mengerjakan amal ibadahnya. Rasa
sakit dalam dada Pak Hamdan datang apabila dia menunduk sujud ataupun apabila
rukuk. Namun, Pak Hamdan tidak menghiraukannya, dia masih meneruskan solatnya
sehinggalah rakaat yang terakhir. Pak Hamdan mengucapkan salam dan membaca doa.
Sudah menjadi amalan Pak Hamdan untuk mendoakan kesejahteraan untuk
sekeluarganya. Teringat Pak Hamdan tiba-tiba terhadap anak-anak kesayangannya
nun jauh di seberang sana. Dia menambah isi dalam doanya kepada Allah S.W.T
supaya dia dapat berjumpa dengan anaknya. Dia mendoakan supaya anak-anaknya
pulang ke rumah untuk berjumpa dengannya serta isterinya. Tanpa tidak disedari,
berlinangan air mata Pak Hamdan membasahi pipinya. Tersedu-sedan Pak Hamdan
meneruskan doanya merayu kepada Allah yang maha agung untuk menunaikan
permintaannya. Sakit dada Pak Hamdan disusuli dengan sebak di dadanya
menambahkan lagi sakit itu. Selesai saja berdoa, Pak Hamdan diam merenung
dinding. Beliau masih lagi bersedih dan sudah lupa akan kesakitan di dadanya.
Beliau kemudian berdiri perlahan-lahan untuk ke ruang tamu.
Tiba-tiba,
Pak Hamdan terjatuh semula. Dia berusaha untuk berdiri kembali. Namun, dia
sukar untuk berdiri. Kesakitan di dadanya sudah semakin teruk. Begitu lama dia
tertunduk menahan kesakitan dan kemudian pengsan tanpa dia sedar.
Puan
Leha pada ketika itu sudah pun siap menghidang makanan tengah hari. Selalunya,
dia akan bersama-sama dengan suaminya untuk menunaikan solat di dalam rumah
jika Pak Hamdan tidak keluar untuk menunaikan solat berjemaah di surau atau
masjid. Tapi memandangkan Puan Leha sudah menunaikan solat terlebih dahulu dan
disangkanya Pak Hamdan akan ke surau untuk menunaikan solat secara berjemaah,
dia terus sahaja ke dapur untuk menyediakan makanan tengah hari selepas selesai
saja menyelesaikan kerjanya di luar rumah.
Puan
Leha masih menunggu Pak Hamdan untuk bersama-samanya menjamu selera. Kalau
Raziman datang, boleh lah mereka sama-sama menikmati makanan tengah hari
tersebut. Tapi itu pun kalau Raziman datang, biasanya, dia akan datang selepas
selesai sahaja solat zohor. Kalau sudah masa-masa seperti ini, Raziman tidak
akan datang sebab mungkin dia akan makan di tempat lain.
Selang
beberapa ketika, Pak Hamdan masih belum muncul lagi. Puan Leha hairan kerana biasanya Pak Hamdan
tidak lah sebegitu lama untuk menunaikan solat zohor. Takkan lah berzikir
begitu lama. Fikir Puan Leha. Puan Leha menuju kearah ruang solat untuk melihat
sama ada Pak Hamdan sudah selesai mengerjakan solat ataupun belum. Puan Leha
membuka sedikit tirai langsir ruang solat tersebut. Dilihatnya Pak Hamdan
terbaring di atas sejadah, disangkanya Pak Hamdan tertidur atas sejadah
tersebut.
“Ai,.
Tertidur pula dia dalam ni, ingatkan berzikir lama sangat tadi..” Sergah Puan
Leha tapi tidak mendapat respon dari Pak Hamdan.
Puan
Leha kemudian membangunkan Pak Hamdan dengan menepuk-nepuk bahu Pak Hamdan.
“Abang,. Mari makan tengah hari., makanan dah lama tersedia dah tu, takut sejuk
pula nanti.” Kejut Puan Leha kepada Pak Hamdan. Namun masih tidak mendapat
respon dari Pak Hamdan. “Abang,. Abang..” Puan Leha masih mengejutkan suaminya.
Puan Leha kemudian menarik bahu suaminya lalu terlihatlah wajah Pak Hamdan.
Puan Leha mula berasa serba tak kena. Kelihatan wajah Pak Hamdan yang tidak
bermaya dengan matanya masih bergerak-gerak sedikit berusaha untuk bangun. Pak Hamdan memegang dadanya yang sedang sakit.
Kedengaran Pak Hamdan mengerang kesakitan apabila Puan Leha menarik bahunya
tadi.
“Masya
Allah!! Abang!!” Puan Leha terjerit sedikit.. Sambil berlari keluar, Puan Leha
menjerit meminta bantuan. Puan Leha teringatkan telefon bimbit suaminya yang
berdekatan dengan kaca televisyen, dia berlari mendapatkan telefon bimbit itu.
Malangnya dia tidak tahu menggunakan telefon bimbit tersebut. Dibawa nya keluar
bersama telefon bimbit itu dan menjerit lagi..
“Tolong!!,
Tolong!!” jerit Puan Leha sambil mundar mandir di luar beranda. Mujurlah ada
jiran yang bersebelahan dengan mereka mendengar jeritan Puan Leha itu. Puan
Leha mendapati jirannya Mak Baidah sedang bergegas menuju kearah rumah Puan
Leha. Puan Leha bergegas kembali kearah Pak Hamdan. Dia kemudiannya berusaha
membawa Pak Hamdan keluar ke ruang tamu.
Mak
Baidah tanpa memberi salam lagi bergegas menuju kearah Puan Leha.
“Ya Allah, Leha, apa dah jadi?” Mak Baidah dalam
kekalutan itu masih mahu bertanya melihat Pak Hamdan yang mengerang menahan
kesakitan.
“Suami
saya tiba-tiba terbaring masa saya jenguk dia ajak untuk makan tengah hari
kak,” Puan Leha berkata laju sambil menghulurkan telefon bimbit yang dipegangya
kepada Mak Baidah.
“Kak,
tolong telefon anak saya, Raziman, suruh dia cepat-cepat datang balik rumah.”
Kata Puan Leha kepada Mak Baidah.
“tidak
apa, saya panggil Bang Reman bawa dulu Bang Hamdan pegi hospital.” Ujar Mak
Baidah kepada Puan Leha. Mak Baidah kemudian bergegas keluar memanggil Pak Reman yang baru sahaja ingin bergerak
meninggalkan rumahnya untuk ke kerjanya semula namun dihalang oleh Mak Baidah.
Selepas
selesai saja Mak Baidah bercerita ringkas tentang Pak Hamdan, Pak Reman
langsung saja mengangkat Pak Hamdan ke dalam keretaya.
x x
x x x x
Sesampai
saja mereka di hospital, Mak Baidah terus saja membuat panggilan dengan
menggunakan telefon bimbit Pak Hamdan untuk memberitahu Raziman tentang
kejadian tersebut. Puan Leha pada ketika itu sudah mundar mandir tidak keruan
di luar pintu kecemasan. Mujurlah mereka sempat menghantar Pak Hamdan ke
hospital.
Tidak
lama selepas itu, Raziman muncul di perkarangan hospital dan mencari-cari
kelibat ibunya bersama Mak Baidah. Raziman langsung sahaja menuju ke bahagian
jabatan kecemasan dan terus sahaja masuk. Dilihatnya ibunya dengan Mak Baidah
sedang menunggu di ruangan menunggu dalam jabatan kecemasan itu. Dia lalu
langsung saja meluru le arah mereka.
“Macam
mana dengan ayah bu?” Tanya Raziman yang kelihatan masih dalam kekalutan dan
sedikit tercungap-cungap. Ibu Raziman yang melihat kelibat anaknya Raziman
seraya menceritakan kejadian tersebut. Mak Baidah hanya memandang rasa simpati
terhadap Puan Leha. Raziman menenangkan ibunya sambal itu berdoa supaya ayahnya
tidak ada apa-apa.
Selang
beberapa ketika, seorang doktor keluar dari bilik kecemasan tersebut. Puan leha
terus sahaja meluru kearah doktor tersebut.
“bagaimana
dengan suami saya doktor?” Puan Leha yang sudah tida sabra-sabar lagi
mengetahui keadaan suaminya terus sahaja menanyakan soalan kepada doktor yang
baru sahaja keluar dari bilik kecemasan tadi.
“Begini
puan, pemeriksaan awal kami lakukan mendapati ada sumbatan yang berlaku dalam tisu
jantung suami Puan, buat setakat ini, kami hanya berikan suami puan suntikan
pelali sebab ubat biji tidak dapat lagi diberikan kepada suami puan berdasarkan
ritma jantung suami Puan yang tidak normal.” Bersungguh-sungguh Doktor
tersebut memberi penjelasan kepada Puan
Leha.
“Boleh
saya jenguk suami saya?” Puan Leha yang sudah tidak sabar-sabar lagi meminta
kebenaran daripada doktor untuk melihat keadaan suaminya.
“Boleh,
sebentar lagi suami Puan akan di pindahkan ke wad kecemasan. Dan saya ingin
menjelaskan bahawa suami puan perlukan pembedahan segera untuk membetulkan
ritma jantung suami puan” jelas doktor itu kepada Puan Leha dengan harapan Puan
Leha tidak terlalu terkejut dan dapat memberikan kerjasama.
Tidak
lama selepas itu, Pak Hamdan telah dipindahkan ke wad kecemasan dan disitu,
Puan Leha dan yang lain sudah pun sedia menunggu. Kelihatan Pak Hamdan sudah
disambungkan oksigen dan sudah sedar.
“Leha,
awak panggil lah anak-anak kita yang lain.” Ujar Pak Hamdan terdahulu sebelum
sempat Puan Leha berkata apa-apa.
“Tak pa
ayah, saya sudah hantar pesanan ringkas untuk dia orang semua tadi” Sampuk
Raziman membantu ibunya menjawab untuk Pak Hamdan.
Keadaan
tenang semula sehinggalah tiba pembedahan untuk Pak Hamdan.
Dua hari
selepas kejadian itu, Raziman lah yang selalu menjaga Pak Hamdan, Raziman lah
yang selalu membantu Puan Leha menguruskan kerja-kerja di rumah. Raziman lah
yang membantu Pak Hamdan dalam semua perkara termasuk makan minum Pak Hamdan.
“Bila
lah abang-abang kakak kau datang balik rumah” keluh Pak Hamdan yang masih belum
dapat melupakan anak-anaknya yang masih belum pulang lagi.
“Takpa
ayah, Man kan ada di rumah jaga ayah..” jawab Raziman menyenangkan hati
ayahnya.
“Man tak
pegi kerja ka? Tak perlulah Man susah payah jaga ayah, ada ibu kau di rumah
juga..” Pak Hamdan memandang Raziman dengan perasaan kasihan. Baru dia nampak
perubahan Raziman yang sangat ketara. Sebenarnya Raziman sudah banyak berubah
baru-baru ini. Namun dia tidak pernah kisah dan langsung tidak mengendahkan
Raziman.
“tak apa
lah ayah, boleh Man tolong-tolongkan ibu buat kerja-kerja rumah, kasihan ibu
bersendirian jaga ayah dalam rumah” Raziman tahu ayahnya cuma berdolak dalih,
ayahnya tidak pernah mahu menyusahkan sesiapa termasuk isterinya sendiri.
Pak
Hamdan sayu melihat Raziman, Pak Hamdan terharu melihat Raziman yang sanggup
melakukan itu semua deminya. Baru dia sedar dan dia akui, dia tidak begitu
memberikan kasih sayangnya kepada Raziman selama ini. Selama ini, semua yang
dilakukan oleh Raziman tidak betul di matanya sejak dia banyak kali
menyusahkannya dan juga isterinya, Puan Leha. Mungkin Tuhan membuka matanya
supaya dia menyedari bahawa setiap manusia juga tahu berubah begitu juga dengan
Raziman. Dalam diam, Pak Hamdan bersyukur kerana masih ada anaknya yang
prihatin terhadapnya.
“Ayah..”
lamunan Pak Hamdan terhenti apabila Raziman memanggilnya.
“Semalam Abang Long ada call, begitu juga dengan abang
Lam dan kak Syah,” Pak Hamdan diam saja selepas mendengar berita anak-anaknya
dari Raziman. Dia rasa sangat mustahil kalau anak-anaknya berbuat sedemikian
melainkan dia yang membuat panggilan kepada anaknya sendiri.
“kalau
setakat call saja tak nak balik buat apa..” balas Pak Hamdan dengan nada yang
kecewa.
“dia
orang kata…” belum sempat Raziman menghabiskan ayatnya kedengaran bunyi orang
memanggil di luar rumahnya. Cepat-cepat Raziman menyelak langsir untuk melihat
empunya suara itu.
“Aisyah!!”
Puan Leha terkejut melihat Aisyah sudah berada di depan pintu rumahnya. Puan
Leha berlari keluar meninggalkan kerjanya dalam dapur. Di peluknya Aisyah erat
sambil berlinangan air matanya.
“Kenapa lama tak balik Syah, ibu balik-balik suruh ayah
kamu call kamu tapi kata sibuk, kamu kata nanti kau call balik tapi ibu
tunggu-tunggu tak ada pun kamu call.” Tersedu sedan Puan Leha dalam dakapan
Aisyah.
“Maafkan
Aisyah bu, Aisyah selalu sibuk sehinggakan lupa call ibu balik” Aisyah yang
sudah lama tidak berjumpa dengan ibunya memeluk erat ibunya sambil menangis
tersedu sedan.
“Masuk
lah kedalam, ayah kau dah lama tunggu kau” Puan Leha menjemput Aisyah yang
sudah lama di dalam dakapannya.
Sesampai
saja Aisyah kedalam rumah, berlinangan air mata Pak Hamdan menyambut kedatangan
anaknya. Di peluknya Pak Hamdan erat begitu juga dengan adiknya Raziman.
“Mana
abang-abang kamu yang lain?” Tanya Pak Hamdan kepada Aisyah.
“Abang
Long dan Abang Lam tidak lama lagi nanti sampai, dia orang berdua dalam
perjalanan balik dah..” Kata Aisyah kepada ayahnya. Pak Hamdan senang mendengar
jawapan itu daripada Aisyah. Dia mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana
telah memakbulkan doanya.
“ayah
macam mana sekarang? Maafkan Aisyah sebab jarang hubungi ayah dengan ibu” ujar
Aisyah yang masih belum redha dalam tangisannya.
“Ayah
baru saja lepas selesai jalani pembedahan, mudah-mudahan ayah baik saja lepas
ni” Raziman membantu menjawab bagi pihak ayahnya kerana ayahnya hampir tidak
dapat menjawab disebabkan tangisannya yang membuakan dia tersedak.
Anak-anak
Pak Hamdan yang lain,meyusuli sampai ke rumah tidak lama selepas itu. Terharu
Pak Hamdan kerana dia dapat kembali bersama dengan anak-anaknya yang sudah kian
lama meninggalkannya. Betapa dia sangat bersyukur kerana Allah masih memberi
peluang kepadanya supaya dia dapat berjumpa dengan anak-anaknya kembali setelah
sudah sekian lama.
Angin
bertiup sepoi-sepoi bahasa, hujan gerimis turun seperti terharu mengalu-alukan kedatangan anak-anak Pak
Hamdan. Begitulah juga dengan Pak Hamdan dan Puan Leha yang sudah kian lama
menantikan kepulangan anaknya.